Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Arab Saudi telah mengembalikan sistem pemberian elaun kepada penjawat awam dan anggota tenteranya dalam rangka meredakan kemarahan awam yang sebelum ini menyaksikan beberapa pihak menggesa supaya protes diadakan di seluruh negara tersebut.
Raja Salman bin Abdulaziz al-Saud menitahkan pihak terbabit untuk mengembalikan semula "kesemua elaun, bantuan kewangan dan bonus" yang sebelum ini dihentikan pada September lepas berikutan langkah berjimat yang diambil Riyadh dalam menghadapi krisis harga minyak dan peningkatan belanjawan ketenteraan.
Arab Saudi yang dahulunya pernah dikenali sebagai negara yang merekodkan perbelanjaan awam yang sangat besar kini berhadapan dengan krisis kewangan berikutan penurunan harga minyak dan juga perbelanjaan ketenteraan yang melambung bagi menyokong kempennya di Yaman.
Negara itu telahpun membelanjakan berbilion dolar untuk membeli senjata daripada kerajaan-kerajaan Barat bagi meneruskan kempen mereka di Yaman yang setakat ini telahpun mengorbankan sekitar 10,000 nyawa warga Yaman.
Keputusan itu dibuat selepas terdapat gesaan daripada sesetengah pihak yang mahu demonstrasi diadakan di empat buah bandar penting di negara itu.
Dengan menggunakan hashtag Twitter bernama "April 21 movement" -Gerakan 21 April-, warga Arab Saudi menyebarkan kenyataan minggu lepas yang menggesa pihak terbabit mengembalikan sistem bantuan kewangan dan menuntut supaya penjualan saham syarikat minyak Aramco dihentikan. Mereka turut menggesa supaya sistem raja berperlembagaan diamalkan di negara itu dan pengembalian kuasa kepada 'polis agama.'
Pada hujung minggu lepas, rejim Riyadh telah menempatkan pasukan berkuasa mereka di sentral Riyadh di sebalik kenyataan bahawa tiada protes yang berlaku.
/315
24 April 2017 - 18:54
News ID: 825773
Arab Saudi telah mengembalikan sistem pemberian elaun kepada penjawat awam dan anggota tenteranya dalam rangka meredakan kemarahan awam yang sebelum ini menyaksikan beberapa pihak menggesa supaya protes diadakan di seluruh negara tersebut.